Jumaat, 16 Julai 2010

Bapa saman tiga anak RM2.02 juta



BAHAROM Long berdiri di tangga rumahnya yang menjadi rebutan anak-anaknya di Selayang, Kuala Lumpur, semalam.


SHAH ALAM 15 Julai - Seorang pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini menyaman tiga anak lelakinya bagi menuntut ganti rugi lebih RM2 juta kerana mendakwa dikurung dan dipaksa menyerahkan dua lot tanah kepada mereka tiga tahun lalu.

Dalam saman tersebut, Baharom Long, 85, mendakwa, ketiga-tiga anaknya itu telah bertindak di luar batasan undang-undang dan kemanusiaan apabila memaksanya menandatangani satu surat akuan yang tidak diketahui isi kandungannya.

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Azmi Talib & Associates di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada pukul 10.30 pagi ini.

Baharom selaku plaintif menamakan tiga daripada lima anaknya, Md. Hanafiah, 55; Zakariah, 52; dan Musa, 50, sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Warga emas itu turut hadir di mahkamah dengan ditemani anak keempat, Roslan, 48, dan peguamnya, Muhd. Azmi Talib.

Dalam pernyataan tuntutan, Baharom mendakwa, Zakariah telah berjumpa dengannya di Masjid Selayang dan membawanya ke rumah Md. Hanafiah pada sekitar November 2007.

Apabila sampai di rumah tersebut, plaintif mendakwa, dia dikelilingi oleh ketiga-tiga anaknya itu dalam keadaan semua tingkap dan pintu rumah tersebut ditutup dan dikunci serta dipaksa menandatangani satu surat yang tidak diketahui isi kandungannnya.

Menurut Baharom, dia dimaklumkan surat itu bertujuan menyelamatkannya dan dia juga tidak akan dibenarkan melangsungkan perkahwinannya jika tidak menurunkan tandatangan.

Pada sekitar Mei dan Ogos 2008, plaintif mendakwa, pihak defendan telah datang ke rumahnya untuk mencari geran tanah di dalam bilik tetapi gagal ditemui.

Dakwa Baharom, dia hanya mengetahui surat yang ditandatangani sebelum itu adalah surat akuan bersumpah bertarikh 3 Disember 2007 berkenaan pembahagian dua lot tanah milik plaintif dan arwah isterinya selepas menerima salinan surat tersebut.

Dua lot tanah tersebut ialah di Lot No. 17, Jalan 11, Selayang Baharu dan Lot No. 8575, Jalan Nakhoda Tengah, Kampung Nakhoda, Jalan Sungai Tua, Batu Caves dekat sini.

Akibat tindakan pihak defendan, dia telah mengalami tekanan emosi, perasaan dan psikologi yang amat serius.

Plaintif bukan sahaja hidup dalam ketakutan selain murung dan susah hati malah terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan psikologi akibat trauma sehingga mengalami kerugian wang ringgit.

Selain menuntut ganti rugi khas RM16,000 dan ganti rugi teladan serta ganti rugi teruk RM2 juta, Baharom memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa surat akuan bertarikh 3 Disember 2007 yang ditandatangani secara paksa itu adalah tidak sah.

Difahamkan, plaintif dan tiga anaknya itu juga sedang menghadapi kes tuntutan harta pusaka dan hibah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

(Sumber : Utusan Malaysia)

Tiada ulasan: