|
Begitulah nasib malang yang menimpa seorang nenek yang hidupnya terpinggir tanpa keluarga di sisinya.
Gayah Hitam, 78, wanita cekal yang berasal dari Terengganu ini terpaksa menumpang teduh di sebuah bilik kecil sederet dengan rumah kedai di Pekan Endau, dekat sini sejak beberapa bulan lalu.
Suaminya, Mohd. Nooh Mohamad, 90, yang berasal dari Kampung Belukar Juling, Endau telah meninggal dunia Februari lalu akibat sakit tua.
Menurut Gayah, selepas pemergian suaminya, dia meneruskan sisa-sisa hidupnya seorang diri kerana tidak mempunyai anak dan saudara mara.
"Saya hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mersing sebanyak RM300 sebulan untuk menampung hidup," katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, bilik kecil yang didiaminya adalah hasil belas ihsan daripada orang ramai di sekitar pekan tersebut yang simpati melihatkan nasibnya.
Tinjauan Utusan Malaysia ke tempat kediamannya mendapati warga emas itu terpaksa tinggal di sebuah bilik kecil dan sempit yang tidak ubah seperti sebuah setor menyimpan barang.
Ia hanya mempunyai sebuah katil, meja kecil dan sebuah para dapur untuk menyimpan makanan.
"Saya bersyukur dan bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang penyakit," katanya.
Menurutnya, dia hanya akan ke surau berhampiran jika ingin membuang air kerana bilik berkenaan tidak mempunyai tandas.
Melihat keadaan rumah dan nasib yang menimpa wanita itu, sokongan serta bantuan amat diperlukan baginya untuk mendapatkan tempat tinggal yang lebih selesa agar kesihatan dan keselamatannya lebih terjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan